Sunday, April 22, 2007

Adab Bersin dan Menguap

Telah sabit dikalangan para ulama’ salaf (sebelum kurun keempat) hingga kini, satu sunnah qouliah yang dianjurkan oleh Nabi SAW yang menunjukkan kepada kesempurnaan akhak dan adab-adab bertaamul sesama manusia, dan masih lagi sunnah ini tersebar dikalangan para pengamal sunnah, namun terasa janggal pula dikalangan masyarakat amnya.

Terdapat kesamaan diantara adat melayu dan sunnah ini, namun betapa ruginya mereka jahil akan kehendak sebenar sunnah tersebut. Jika diperhatikan sunnah Rasulullah SAW apabila bersin seseorang muslim dengan nama Allah, maka Baginda menganjurkan agar dijawab: “Allah merahmati kamu”-Yarhamkallah- dan dibalas kembali “Allah memberi petunjuk kepada kamu, dan dibaikkan keadaan kamu”-Yahdikumullah wa yuslih balakum”.(1)

Didalam hadith yang lain, daripada Sohabi al-Jalil Abu Hurairah radhiallahu anhu, tentang Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT menyukai pembersin, dan membenci penguap, maka apabila bersin seseorang pujilah Allah (dengan alhamdulilah) dan adalah menjadi kewajipan Muslim yang mendengar mendoakan kebaikan untuknya, manakala menguap pula adapun ia daripada Syaitan, maka tahanlah ia sekadar yang mampu, maka apabia berkata seseorang: ah.. maka ketawalah syaitan”.(2)

Setiap perkara yang dianjurkan oleh Nabi SAW, pastinya ada hikmah disebaliknya samaada mampu diketahui oleh manusia ataupun tidak. Sesungguhnya Allah SWT menyukai pembersin, seperti yang kita ketahui dari segi perubatan bahawa bersin itu mengosongkan fikiran dari masalah, dan membuang segala keserabutan hati, oleh itu kita dapati sebabnya adalah positif iaitu meringankan anggota badan bagi mengurangkan percampuran sisa makanan dalam badan.

Sedangkan menguap pula, kewujudannya memberatkan jiwa dan menyerabutkannya, seterusnya mewarisi penyakit lupa dan malas. Telah diperjelaskan oleh Nabi SAW didalam hadith: “apabila menguap seseorang daripada kamu, maka letaklah tangannya ke bibirnya, bahawasanya syaitan akan masuk (jika tidak ditutup) (3), disamping itu al-Imam Badruddin al-A’aini menambah, perbuatan menutup mulut adalah diluar ataupun didalam solat.

Sepertimana yang diterangkan oleh al-Imam an-Nawawi Rahimahullah, bahawa suruhan mendoakan seorang yang bersin itu adalah jelas, begitu juga tegahannya apabila pembersin tidak mengucapkan alhamdulillah, maka makruh didoakannya, manakala sekiranya pembersin mengucapkan alhamdulillah tetapi tidak didengari, maka tidak mengapa jika tidak didoakannya.

Wallah min wara’ al-qasd

(1) –Dikeluarkan oleh Bukhari (6224)
(2) –Dikeluarkan oleh Bukhari (6223)(6226)
(3) –Dikeluarkan oleh Bukhari (6226)(6223)

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home