Sunday, May 13, 2007

Risalah buat Para Pejuang epi 1

Akhir-akhir ini seringkali kedengaran akan kegagalan para pejuang Islam didalam merelisasikan dakwah mereka, betapa melesetnya tanggapan sesetengah dikalangan mereka ini terhadap mauqif “Kejayaan didalam Dakwah”.

Jika direnungkan kembali perjuangan dakwah yang dilalui para anbiya’ terdahulu seperti Nuh Alaihisalam, yang berdakwah kepada umatnya selama 950 tahun, dan diriwayatkan pengikutnya hanya tidak lebih 80 orang. Bagaimanakah pula kita? Yang baru sahaja berjuang tak kurang dua tahun, atau dua bulan atau dua minggu, atau dua hari, atau dua jam, atau dua saat. Apakah kita tidak pernah menghayati kisah Nabi Nuh didalam al-Quran ketika Baginda mengadu kepada Allah SWT: “Ya Tuhanku sesungguhnya aku telah menyeru kaumku malam dan siang”, “maka seruanku itu hanyalah menambah mereka lari (dari kebenaran)” –Surah Nuh: ayat 5-6.

Sedarlah para pejuangku, betapa peritnya perjuangan menuju Allah ini, tetapi yakinlah bahawa bukanlah perjuangan ini dimatai oleh ganjaran ataupun pangkat, tapi hanyalah semata-mata mencari redha Allah SWT, dan adapun ganjaran yang abadi adalah dari pencipta alam semesta Allah SWT, sepertimana yang disebutkan oleh Nabi Nuh Alaihissalam: “Dan aku tidak sekali-kali meminta upah kepadamu atas ajakan-ajakan itu, upahku tidak lain hanyalah dari Tuhan semesta”. –Surah as-Syu’ara: ayat 109.

Dalam perjuangan juga tidak pernah kenal putus asa, bahkan sering dipasangkan perjuangan ini dengan mehnah atau ujian. Maka setiap ujian, hendakah diiringi dengan kesabaran, seperti pepatah arab yang bermaksud: “kesabaran itu adaah kunci kejayaan”. Setiap mukmin adalah diseru agar bersabar didalam berdakwah sambil tidak meminta-minta ganjaran melainkan ia dari Allah SWT. Didalam surah al-Muddathir Allah berfirman: “Wahai orang yang berselimut, bangunlah lalu berilah peringatan dan Tuhanmu agungkanlah, dan pakainmu bersihkanlah, dan perbuatan dosa (menyembah berhala) tinggalkanlah, dan jangan kaum memberi (dengan maksud) memperoleh balasan yg lebih banyak, Dan untuk (memenuhi perintah) Tuhanmu, Bersabarlah”. –Surah al-muddathhir: ayat 1-7.

Untuk akhirnya, diselitkan nasihat buat para pejuang islam dan juga merupakan penyambung mata rantai perjuangan Rasulullah SAW, ayuh kita renungkan kata-kata Syeikh Abul Hasan an-Nadwi: “Sesungguhnya dunia ini tidak akan mendapat kesejahteraan melainkan melalui jambatan yang dibina dibawah paksi Jihad dan Kesusahan (letih) yang dipelopori oleh generasi-generasi muda islam”.

Dan ingatlah Para pejuang sekalian, bahawa jalan dakwah ini tiada paksaan baginya, tiada kesan buruk bagi Islam, jika kalian tidak melakukan usaha-usaha memartabatkannya, kerna pasti ada segolongan yang lain akan melakukannya, dan diakhirat kelak, yakinlah kalian lah yang paling rugi, kerna tidak menjadi salah seorang dari pejuang-pejuang agama Allah SWT.

Sunday, April 22, 2007

Adab Bersin dan Menguap

Telah sabit dikalangan para ulama’ salaf (sebelum kurun keempat) hingga kini, satu sunnah qouliah yang dianjurkan oleh Nabi SAW yang menunjukkan kepada kesempurnaan akhak dan adab-adab bertaamul sesama manusia, dan masih lagi sunnah ini tersebar dikalangan para pengamal sunnah, namun terasa janggal pula dikalangan masyarakat amnya.

Terdapat kesamaan diantara adat melayu dan sunnah ini, namun betapa ruginya mereka jahil akan kehendak sebenar sunnah tersebut. Jika diperhatikan sunnah Rasulullah SAW apabila bersin seseorang muslim dengan nama Allah, maka Baginda menganjurkan agar dijawab: “Allah merahmati kamu”-Yarhamkallah- dan dibalas kembali “Allah memberi petunjuk kepada kamu, dan dibaikkan keadaan kamu”-Yahdikumullah wa yuslih balakum”.(1)

Didalam hadith yang lain, daripada Sohabi al-Jalil Abu Hurairah radhiallahu anhu, tentang Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT menyukai pembersin, dan membenci penguap, maka apabila bersin seseorang pujilah Allah (dengan alhamdulilah) dan adalah menjadi kewajipan Muslim yang mendengar mendoakan kebaikan untuknya, manakala menguap pula adapun ia daripada Syaitan, maka tahanlah ia sekadar yang mampu, maka apabia berkata seseorang: ah.. maka ketawalah syaitan”.(2)

Setiap perkara yang dianjurkan oleh Nabi SAW, pastinya ada hikmah disebaliknya samaada mampu diketahui oleh manusia ataupun tidak. Sesungguhnya Allah SWT menyukai pembersin, seperti yang kita ketahui dari segi perubatan bahawa bersin itu mengosongkan fikiran dari masalah, dan membuang segala keserabutan hati, oleh itu kita dapati sebabnya adalah positif iaitu meringankan anggota badan bagi mengurangkan percampuran sisa makanan dalam badan.

Sedangkan menguap pula, kewujudannya memberatkan jiwa dan menyerabutkannya, seterusnya mewarisi penyakit lupa dan malas. Telah diperjelaskan oleh Nabi SAW didalam hadith: “apabila menguap seseorang daripada kamu, maka letaklah tangannya ke bibirnya, bahawasanya syaitan akan masuk (jika tidak ditutup) (3), disamping itu al-Imam Badruddin al-A’aini menambah, perbuatan menutup mulut adalah diluar ataupun didalam solat.

Sepertimana yang diterangkan oleh al-Imam an-Nawawi Rahimahullah, bahawa suruhan mendoakan seorang yang bersin itu adalah jelas, begitu juga tegahannya apabila pembersin tidak mengucapkan alhamdulillah, maka makruh didoakannya, manakala sekiranya pembersin mengucapkan alhamdulillah tetapi tidak didengari, maka tidak mengapa jika tidak didoakannya.

Wallah min wara’ al-qasd

(1) –Dikeluarkan oleh Bukhari (6224)
(2) –Dikeluarkan oleh Bukhari (6223)(6226)
(3) –Dikeluarkan oleh Bukhari (6226)(6223)

Friday, April 20, 2007

Kesatuan Ummah dan Perpecahan (epi 2)

Boleh dijadikan karangan ini adalah rentetan daripada penulisan saya yang lepas berkaitan dengan kesatuan ummah dan perpecahan. Diantara perkara-perkara yang menjadi tajuk perbincangan dikalangan kita adalah status hadith perpecahan ummah. Marilah kita lihat kajian dibawah.

Kedudukan Hadith-hadith Perpecahan Ummat.

Diriwayatkan daripada hadith Anas bin Malik Radhiallahu anhu sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Bani Israel berpecah kepada tujuh puluh satu golongan, dan akan berpecah umatKu kepada tujuh puluh dua golongan, semuanya didalam neraka melainkan satu, iaitu al-Jamaah” (1)

Diriwayatkan juga oleh imam Ahmad didalam Musnad daripada hadith Muawiyah Radiallahu anhu berkata: “Rasulullah SAW bangun disisi kami seraya berkata: “Sesungguhnya Ahli Kitab sebelum kamu (yahudi dan nasrani) telah berpecah kepada tujuh puluh dua golongan, dan ummat ini pula akan berpecah kepada tujuh puluh tiga golongan, tujuh puluh dua daripadanya didalam neraka, dan satu didalam syurga iaitu al-Jamaah”.(2)

Didalam riwayat yang lain disebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Akan berpecah umatKu kepada tujuh puluh tiga golongan, kesemuanya didalam neraka melainkan satu golongan, dikatakan padanya siapa mereka (golongan yang berjaya) wahai Rasulullah SAW?, maka Rasulullah SAW menjawab: “mereka itulah yang diumpamakan Aku dan Sahabat-sahabatKu Hari ini”.(3)

Dikatakan oleh sebahagian ulama’, yang dimaksudkan dengan “golongan yang berjaya” itu adalah Ahlu al-Hadith iaitu pengikut sunnah Rasulullah SAW, al-Asya’riah iaitu yang dinisbahkan kepada Abi al-Hasan al-Asya’ari (w324h) dan al-Maturidiah, yang dinisbahkan pula kepada Abi Mansur al-Maturidi (w333h).

Adapun Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah Rahimahullah berkata golongan yang berjaya itu adalah golongan ahlu as-Sunnah dan jemaah (4), dan menafikan berbilangnya golongan seperti yang dinyatakan oleh sebahagian ulama’ iaitu terbahagi kepada tiga: al-Athariah, al-Asyariah dan al-Maturidiah.

Kesimpulannya, hadith perpecahan umat ini diriwayatkan oleh sebilangan besar para sahabat yang muktabar dengan lafaz: Satu golongan didalam syurga iaitu al-Jamaah, mereka itu adalah: Ali bin Abi Talib, Sa’ad bin Abi Waqqas, Ibnu Umar, Abi ad-Darda’, Muawiyah, Ibnu Abbas, Jaber, Abi Umamah, Wasilah bin al-Asqa’, Auf bin Malik, Amru bin Auf, dan Anas bin Malik Radhiallahu Anhum.

Adapun apa yang dinaqalkan oleh Hujjatul Islam Abu Hamid al-Ghazali (w505h) didalam kitabnya “at-Tafarruqoh baina al-Iman wa az-Zindiqah”(5), bahawa Nabi SAW bersabda: “akan berpecah umatKu kepada tujuh puluh (lima hingga sembilan) golongan, semuanya didalam Syurga, melainkan satu iaitu golongan az-Zanadiqah”.

Lafaz az-Zindiqah disisi ulama’ Feqah (Fuqaha’) adalah yang bermaksud munafik yang bertopengkan Islam secara zahir, tetapi batinnya kafir.

Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, hadith yang diriwayatkan oleh al-Hakim, Abu Daud, at-Tirmizi dan selain mereka, tiada satu pun yang menyatakan lafaz “az-Zindiqah”, hatta didalam kalam Nabi SAW juga tidak ada, sepertimana juga didalam al-Quran al-Karim.

Syeikhul Islam Ibnu Taimiah Rahimahullah menambah: “Adapun hadith ini, disepakati oleh ahli pengkaji hadith, bahawa hadith ini merupakan hadith yang dicipta dan tipu, dan tidak diriwayatkan oleh seorang pun dikalangan ahli hadith dengan lafaz ini”.(6)

Wallahu min wara’ al-qasd.

(1) Dikeluarkan oleh Ahmad (145/3), Ibnu Majah (1322/2) nombor (3993), dikatakan oleh al-Busiri didalam “az-Zawaid” (m/s: 179-180): Sanadnya Sahih dan periwayatnya Thiqah. Adapun hadith ini mempunyai banyak jalan periwayatnya, sila lihat “Silsilah al-Ahadith as-Sahihah oleh al-Albani (no. 203, 204 dan 1492)

(2) Dikeluarkan oleh imam Ahmad (102/4), Abu Daud (6-5/5) nombor (4597), Ad-Darimi (158/2), al-Hakim (128/1), Sila lihat Silsilah al-Ahadith as-Sahihah oleh al-Albani (no.204).

(3) Dikeluarkan oleh al-Hakim (128-129/1), at-Tirmizi (2641) dan mengatakan: Hadith Mufassar Ghorib, iaitu tidak diketahui hadith seperti ini melainkan daripada lafaz ini.

(4) Majmu’ al-fatawi :345,347/3

(5) at-Tafarruqoh baina al-Iman wa az-Zindiqah (m/s 143)

(6) Bughyah al-Murtad: m/s 336-337

Thursday, April 19, 2007

Adab Memiliki Kenderaan dan Menaikinya.

Masyarakat kini heboh menceritakan tentang keunikan dan kecanggihan sesebuah ciptaan manusia, sebagai contoh adalah kenderaan. Betapa ramai yang tenggelam dengan tipu daya pencipta kenderaan tersebut, dijadikan bahan luarannya dengan berbagai-bagai bentuk dan rupa sehingga menarik minat hati pembeli-pembeli dan pencinta kenderaan.


Berapa ramai dikalangan kita yang terlanjur memuji sesebuah jenis kenderaan, mahupun memuji pencipta kenderaan tersebut, hinggakan telah menjadi suatu tabiat dikalangan muda-mudi mengagung-agungkan kenderaan mewah, sporty yang mempunyai enjin power dan lain-lain. Berwaspadalah anda dengan melakukan syirik yang kecil tanpa disedari. Tidak lupa juga kita pada pemilik kenderaan sederhana dan terpakai, mereka ini menyerahkan kekuatan dan kecanggihan kenderaan mereka kepada Allah SWT. Maka berjayalah bagi mereka yang mengingati akan nikmat pemberian Allah SWT dan menyerahkan segala urusan kepadaNya, Allah berfirman:

Maksud: “…dan menjadikan untukmu kapal dan binatang ternak yang kamu tunggangi, supaya kamu duduk diatas punggungnya kemudian kamu ingat nikmat Tuhanmu…” –surah az-Zukhruf ayat: 13 dan 14.

Maksud: dan bertawakkallah kepada Allah SWT dan cukuplah Allah sebagai pemelihara” –surah al-Ahzab ayat: 3.


Maksud: maka apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah SWT, sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepadaNya” –surah Ali-Imran ayat: 159.

Dan gagallah pula yang bermegah-megah dengan kenderaan canggih mereka, tanpa mengingati akan nikmat pemberi yang sebenar iaitu Allah SWT, dan tiadalah pendinding bagi mereka melainkan keyakinan mereka terhadap kecanggihan dunia semata-mata.


Sunnah Menaiki Tunggangan (Kenderaan)


Apabila disebutkan tentang sunnah, pasti terpampang penuh yakin akan: Setiap perkara yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW, samaada perbuatannya, perkataannya, persaksiannya, akhlaknya dan kejadiannya. Maka terdapat terlalu banyak perkara yang dianjurkan oleh Nabi SAW, luput didalam benak pikiran masyarakat islam kini. Contohnya: Adab menaiki kenderaan. Jika dikaji akan Hadith-hadith berkaitan dengan Tungangan, maka terlalu banyak akan kita dapati, cumanya tahap kesahihannya sahaja yang menjadi perbezaan, namun saya cuba bawakan hadith yang tiada syak bagi sanadnya mahupun matan, insyaAllah.

Diriwayatkan oleh Muslim didalam sahihnya (1342) bahawa Nabi SAW apabila menaiki tunggangannya untuk keluar bermusafir, baginda SAW bertakbir (menyebut Allahu Akbar), seraya membaca:

"...سبحان الذي سخر لنا هذا وما كنا له مقرنين وإنا إلى ربنا لمنقلبون"

Maksud: Maha Suci Tuhan yang telah menundukkan semua ini bagi kami padahal kami sebelumnya tidak mampu menguasai, dan sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami”. –surah az-Zukhruf ayat: 13 dan 14.

Moga-moga doa ini menjadi pendinding buat setiap muslim, dan beramallah selalu dengan sunah-sunah yang thabit disisi nabi SAW. Wallahu min wara’ al-qasd.

Sejarah kemunculan Mazhab didalam Islam (epi 4)

Selepas mengenali al-Imam ar-Rafie pada karangan yang lepas, kini didatangkan pula biodata ulama tersohor didalam mazhab as-Syafie, pada marhalah ketiga ini.

Kedua
: al-Imam an-Nawawi.

Nama beliau Yahya bin Syaraf bin Murroh bin Hasan bin Husain bin Hazam bin Muhammad bin Jumuah an-Nawawi.

Dilahirkan selepas tujuh tahun kewafatan al-Imam ar-Rafie iaitu pada bulan Muharram tahun 631 Hijrah, dan meninggal pada 676 Hijrah dan umurnya ketika itu 45 tahun.

Adapun imam ar-Rafie dan an-Nawawi merupakan ulama terbesar didalam Mazhab as-Syafie, kerna peranan mereka dalam mentarjihkan pendapat-pendapat yang berselisihan didalam mazhab, tanpa mengistinbatkan kan hukum baru.

Bermula dengan peranan yang dilaksanakan oleh al-Imam ar-Rafie didalam mentelaah kitab-kitab terdahulu dikalangan ashab as-Syafie secara istiqro’, lalu mentarjihkan pendapat-pendapat yang beliau lihat ia adalah lebih tepat. Kemudian barulah datangnya imam an-Nawawi, yang mengkaji semula tarjih yang dibuat oleh ar-Rafie dan beliau mentelaah kitab-kitab yang tidak dikaji oleh ar-Rafie dalam pada yang sama beliau meringkaskan sebahagian kitab-kitab ar-Rafie, seperti kitab “Minhaju at-Tolibin” yang merupakan ringkasan dari kitab “al-Muharrar” oleh ar-Rafie.

Karangan an-Nawawi.

Beliau banyak menulis didalam berjenis-jenis bidang, tapi apa yang ingin saya tekankan adalah didalam aspek feqah, berikut adalah kitab karangan beliau:

1- at-Tahqiq, merupakan syarah kepada “at-Tanbih” oleh Abi Ishak as-Syirazi.
2- Al-Majmu’, merupakan syarah kepada “al-Muhazzab” oleh imam as-Syirazi juga.
3- At-Tanqih, merupaka syarah kepada “al-wasit” oleh Imam al-Ghazali.
4- Ar-Raudhah, merupakan ringkasan kepada “fathul Aziz” oleh imam ar-Rafie.
5- Al-Minhaj, merupakan ringkasan kepada “al-Muharrar” oleh imam ar-Rafie juga.
6- Fatwa beliau.

Wallahu min wara' al-qasd

Monday, April 16, 2007

Hakikat kewujudan hikmah disebalik syariat (epi 2)

Pada kesempatan kali ini, kita akan melihat tanda dan bukti dari nas al-Quran yang menunjukkan syariat itu kesemuanya mempunyai hikmah, samaada ia membawa masuk kebaikan didalam institusi kehidupan, mahupun membawa keluar keburukan dunia dan akhirat.

Pertama:

Disepakati oleh seluruh umat Islam bahawa Allah SWT adalah hakim, dan hakim tidak akan melakukan sesuatu melainkan untuk kepentingan yang dihakimi.

Disebutkan didalam al-Quran: “…Ya tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia…” –surah Ali Imran ayat: 191.

Sekiranya dia (Allah SWT) melakukan sesuatu bukanlah untuk kepentingan makhluknya, maka Dia bermain-main, adapun bermain-main ini adalah diantara sifat kekurangan, dan sifat ini adalah mustahil bagi Allah SWT.

Allah berfirman yang bermaksud: “Maka apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main? Dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada kami?” –surah al-Mukminun ayat: 115.

Kedua:

Sesungguhnya Allah SWT menjadikan anak-anak Adam itu sebaik-baik makhluk ciptaanNya, Allah berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya telah kami muliakan anak-anak Adam, Kami bawa mereka didaratan dan lautan, Kami beri mereka rezki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan”. –surah al-Isra’ ayat: 70.

Jika difikir secara logikal, barangsiapa yang memuliakan seseorang maka sudah semestinya dia akan membantu untuk memberikan yang terbaik buat orang tersebut, dan bukannya mendatang kemudaratan kepadanya.

Ketiga:

Diciptakan anak-anak Adam adalah untuk beribadah kepada Allah SWT, dengan membawa makna yang lebih besar iaitu sebagai Khalifah Allah SWT di muka bumi ini dan seterusnya mengimarahkannya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu”. –surah az-Zariat ayat: 56.

Boleh diambil perhatian disini, bahawa Allah SWT menciptakan manusia itu adalah semata-mata bagi menyembahNya, maka sudah tentu Allah SWT akan mempermudahkan jalan menujuNya, dan mengangkat segala kesesakan makhlukNya.

Keempat:

Sememangnya Allah SWT itu maha pemurah dan pengasih, bertepatan dengan firmanNya yang bermaksud: “SiksaKu akan Ku timpakan kepada siapa yang Aku kehendaki dan rahmatKu meliputi segala sesuatu”. –surah al-A’raf ayat: 156.

Oleh itu sekiranya syariat itu tiada pada nya maslahah atau kebaikan, maka tiadalah rahmat padanya, dan mafhum ini benar-benar bercanggah dengan apa yang difirmankan oleh Allah SWT.

Kelima:

Didalam beberapa perkara, jelas buat kita akan kebaikan dan kepentingan yang ingin disampaikan, sebagai contoh Allah SWT berfirman: “Dan tiadalah Kami mengutus kamu (wahai Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam”. –surah al-Anbiya’ ayat: 107.

Berfirman lagi: “…Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesusahan bagimu…”. –surah al-Baqarah ayat: 185.

Keenam:

Bahawa Allah SWT menyatakan sebab-sebab sesuatu pensyariatan secara detail disebahagian ayat, didalam menjaga kepentingan hamba-hambaNya seperti didalam ayat selepas pensyariatan wudu’: “…Allah tidak hendak menyulitkan kamu, tetapi Dia hendak menyucikan kamu dan menyempurnakan nikmat bagimu, supaya kamu bersyukur”. –surah al-Maidah ayat: 6.

Manakala didalam solat: “…dan dirikanlah Solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar… » -surah al-Ankabut ayat : 45.

Didalam jihad : « Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya… » -surah al-Haj ayat: 39.

Didalam syariat puasa pula : « Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan keatas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa ». –surah al-Baqarah ayat : 183.

Dan didalam hukuman qisas : « Dan dalam qisas itu ada (jaminan kelangsungan) hidup bagimu, hai orang-orang yang berakal, supaya kamu bertaqwa ». –surah al-Baqarah ayat : 179.

Dalam pada yang sama, Allah SWT turut menyatakan sebab tegahan-tegahanNya seperti : « Wahai orang-orang yang beriman, sesunggunya (meminum) arak, berjudi menyembah berhala dan mengundi nasib adalah perbuatan yang keji termasuk perbuatan syaitan, maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan ». –surah al-Maidah ayat : 90.

Maka berdasarkan dalil-dalil dan asas-asas yang telah dinyatakan, boleh disimpulkan bahawa setiap perkara yang di suruh oleh Allah SWT adalah semata-mata bagi membawa masuk kesenangan dan kepentingan buat makhlukNya, adapun perkara yang dilarangNya adalah merupakan penghalang bagi terjerumus ke lembah kesukaran dan kebinasaan di dunia mahupun di akhirat. Wallah min wara’ al-qasd

Sunday, April 15, 2007

Pengaruh KOS

Tertarik dengan sebuah artikel, menarik minat saya untuk menulis akan permasalahan yang sudah lama ditimbulkan iaitu berkaitan dengan sebuah pertubuhan yang dinamakan Khazanah Ortodoks Syria (KOS). Pertubuhan ini tersebar luas di negara sempadan kita iaitu Indonesia, dan bukan mustahil jika suatu hari nanti akan menyerap masuk kedalam masyarakat negara kita Malaysia.

Perkataan Ortodoks seringkali disebutkan, petanda ia adalah nama sebuah cabang mazhab(aliran) didalam agama Kristian yang membawa maksud menganuti ajaran agama yang tulen dan sebenar. Aliran ini dipimpin oleh Paderi Disqures dari tahun 444 masehi hingga 454 masehi dan berpusat di Alexanderia dan Antakia. Fahaman aliran ini berselisihan dengan fahaman yang dibawa oleh aliran Katholik yang dipimpin oleh Paderi Laon (440-461masehi), yang mengakui bahawa al-Masih mempunyai dua sifat iaitu Tuhan dan Manusia, adapun penganut Ortodoks berpegang bahawa al-Masih mempunyai sifat yang tunggal.
Mengikut sejarah, paham ortodoks lahir dari perselisihan antara Gereja Alexandria, Gereja Roma, dan Istana Konstantin. Kemuncak daripada perselisihan ini adalah di Istana Bizantium Marqilanus (450-458 M) seabad lebih sebelum Nabi Muhammad lahir di Mekkah (571masehi).

Syariah Islamiyyah ringkas dan mudah.
Betapa ramai dikalangan umat Islam yang membuat sangkaan buruk terhadap syariat-syariat yang telah ditetapkan oleh Allah SWT melalui lidah RasulNya Muhammad SAW, dengan mengatakan ia (syariat) sudah tidak releven lagi diguna pakai. Adapun penyataan sebegini rupa adalah teramat jauh dari realiti sebenar.

Disini saya cuba membawakan beberapa hikmah disebalik pensyariatan dan dibandingkan dengan apa yang dibawa oleh pertubuhan KOS. al-Imam as-Syatibi rhm pernah melaungkan sebuah ungkapan yang menarik iaitu Sesungguhnya dengan mengetahui hikmah-hikmah daripada sesuatu pensyariatan itu adalah ruh kepada ibadah. Maka disimpulkan bahawa bagi sesiapa yang tidak mengetahui dan tidak mahu mengambil tahu akan hikmah yang tersirat disebalik pensyariatan, mereka itu ibarat beribadah tanpa ruh!

Seperti yang telah diperkatakan sebelum ini, bahawa bukan semua ibadah itu boleh diketahui akan hikmahnya secara detail, tetapi ALlah SWT didalam beberapa suruhannya, Manusia itu mampu mengetahui hikmah pensyariatan itu secara umum, seperti Solat iaitu bagi menunaikan hak-hak ALlah dan lain-lain, manakala Kebersihan (at-toharah), mampu manusia itu mencari tujuannya secara detail.

Perlu difahami oleh segenap umat Islam bahawa syariat itu sifatnya mudah, jika berlaku sebarang kesusahan maka syariat itu ada jalan meringankannya bukannya meninggalkannya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "...Allah SWT menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu..." -surah al-Baqarah ayat 185. Sebab itulah adanya Rukhsah iaitu keringanan, tidak lah datangnye sesuatu syariat itu melainkan utk membawa masuk kebaikan-kebaikan buat mukallaf, dan membawa keluar segala keburukan.

Medan bahayanya KOS
Pertubuhan ini tersebar asalnya di Syria, menjadi kebiasaan para pendakwah dan pendakyah, mengetahui waqi' ataupun situasi masyarakat setempat. Kerna bagi menghasilkan dakwah dan dakyah yang berkesan, perlu kepada kefahaman tentang cara-cara untuk mendekatkan masyarakat dengan mereka. Maka atas dasar inilah terbinanya pertubuhan KOS, yang menyelusuri kefahaman masyarakat Syria yang majoritinya menganut agama Islam.
Kaedah ibadah yang dianjurkan oleh mereka amat kecil perbezaanya dengan ibadah yang dilakukan oleh umat islam. Jika dirujuk kepada kitab Suci yang menjadi rujukan, mereka lebih cenderung kepada Injil yang berbahasa asli Arab-Ibrani: Aram. Jika dikaji secara mendalam pertubuhan ini,adalah lebih sukar daripada apa yang dianjurkan oleh Islam. Mari kita lihat beberapa permasalahan dibawah:

Pertama: Penganut KOS mendirikan solat 7 kali sehari setiap 3 jam, masing-masing dua rakaat. Mereka menyebutnya: sa`atul awwal (fajar/shubuh), sa`atuts tsalis (dhuha), sa`atus sadis (dhuhur), sa`atut tis`ah (ashar), sa`atul ghurub (maghrib), sa`atun naum (Isya`), dan sa`atul layl (tengah malam). Sedangkan Islam lebih ringan hanya 5 kali sehari, dan bilangan rakaatnya juga dikatakan mengikut keselarasan waktu mengikut beberapa kajian.
Solat merupakan Ibadah yang pertama akan disoal, didalam hadith banyak diceritakan soalan pertama diakhirat adalah tentang solat, dan sekiranya berlaku kekurangan, perkara sunnat itulah pula yang akan menampalnya. Bukankah cantik sistem Islam? Mana tidak cantiknya kerna ia diletakkan oleh Pencipta Alam Semesta bukannya Firaun yang merupakan ciptaan,Bush serta sekalian makhluk. Bahkan ALlah SWT yang maha mengetahui apa yang telah lepas dan akan datang!

Kedua: Puasa bagi penganut KOS disebut shaumul kabir (puasa 40 hari berturut-turut) yang dilakukan sekitar bulan April, manakala didalam Islam hanya sebulan dibulan Ramadhan. Jika dalam Islam ada puasa sunah Isnin dan Khamis, pada KOS dilakukan pada Rabu dan Jumaat, bagi mengenang kesengsaraan Kristus.
Penambahan demi penambahan dibuat, bagi memesongkan aqidah umat islam. Bagi orang awam, mereka melihat ia adalah serupa dan mungkin terselit dihati mereka bahawa agama KOS ini boleh diterima sebagai sebahagian dari Islam. Kerna perkara ini berlaku, di Indonesia.

Oleh yang demikian, hendaklah Umat Islam diserata dunia berwaspada dengan setiap gerak geri pertubuhan-pertubuhan yang bertopengkan Islam. Dalam pada yang sama, jangan sesekali menisbahkan kepada mereka yang memakai kopiah itu adalah Muslim, mereka yang bersolat seperti Solatnya Islam itu adalah Muslim, sedang kita lupa untuk memerhati pada Aqidah mereka yang merupakan tunjang utama didalam setiap ibadah. Sekiranya Ibadah beribu-ribu tahun, tetapi Aqidah yang dipegang tidak teguh, maka terbatal kesemuanya. Sebab itulah didalam Tauhid atau Aqidah tiada pintu baginya untuk berijtihad, kerna Aqidah adalah Keyakinan yang teguh dan tiada ruang baginya Syak mahupun Ragu-Ragu.

Wallahu min wara' al-qasd