Friday, April 20, 2007

Kesatuan Ummah dan Perpecahan (epi 2)

Boleh dijadikan karangan ini adalah rentetan daripada penulisan saya yang lepas berkaitan dengan kesatuan ummah dan perpecahan. Diantara perkara-perkara yang menjadi tajuk perbincangan dikalangan kita adalah status hadith perpecahan ummah. Marilah kita lihat kajian dibawah.

Kedudukan Hadith-hadith Perpecahan Ummat.

Diriwayatkan daripada hadith Anas bin Malik Radhiallahu anhu sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Bani Israel berpecah kepada tujuh puluh satu golongan, dan akan berpecah umatKu kepada tujuh puluh dua golongan, semuanya didalam neraka melainkan satu, iaitu al-Jamaah” (1)

Diriwayatkan juga oleh imam Ahmad didalam Musnad daripada hadith Muawiyah Radiallahu anhu berkata: “Rasulullah SAW bangun disisi kami seraya berkata: “Sesungguhnya Ahli Kitab sebelum kamu (yahudi dan nasrani) telah berpecah kepada tujuh puluh dua golongan, dan ummat ini pula akan berpecah kepada tujuh puluh tiga golongan, tujuh puluh dua daripadanya didalam neraka, dan satu didalam syurga iaitu al-Jamaah”.(2)

Didalam riwayat yang lain disebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Akan berpecah umatKu kepada tujuh puluh tiga golongan, kesemuanya didalam neraka melainkan satu golongan, dikatakan padanya siapa mereka (golongan yang berjaya) wahai Rasulullah SAW?, maka Rasulullah SAW menjawab: “mereka itulah yang diumpamakan Aku dan Sahabat-sahabatKu Hari ini”.(3)

Dikatakan oleh sebahagian ulama’, yang dimaksudkan dengan “golongan yang berjaya” itu adalah Ahlu al-Hadith iaitu pengikut sunnah Rasulullah SAW, al-Asya’riah iaitu yang dinisbahkan kepada Abi al-Hasan al-Asya’ari (w324h) dan al-Maturidiah, yang dinisbahkan pula kepada Abi Mansur al-Maturidi (w333h).

Adapun Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah Rahimahullah berkata golongan yang berjaya itu adalah golongan ahlu as-Sunnah dan jemaah (4), dan menafikan berbilangnya golongan seperti yang dinyatakan oleh sebahagian ulama’ iaitu terbahagi kepada tiga: al-Athariah, al-Asyariah dan al-Maturidiah.

Kesimpulannya, hadith perpecahan umat ini diriwayatkan oleh sebilangan besar para sahabat yang muktabar dengan lafaz: Satu golongan didalam syurga iaitu al-Jamaah, mereka itu adalah: Ali bin Abi Talib, Sa’ad bin Abi Waqqas, Ibnu Umar, Abi ad-Darda’, Muawiyah, Ibnu Abbas, Jaber, Abi Umamah, Wasilah bin al-Asqa’, Auf bin Malik, Amru bin Auf, dan Anas bin Malik Radhiallahu Anhum.

Adapun apa yang dinaqalkan oleh Hujjatul Islam Abu Hamid al-Ghazali (w505h) didalam kitabnya “at-Tafarruqoh baina al-Iman wa az-Zindiqah”(5), bahawa Nabi SAW bersabda: “akan berpecah umatKu kepada tujuh puluh (lima hingga sembilan) golongan, semuanya didalam Syurga, melainkan satu iaitu golongan az-Zanadiqah”.

Lafaz az-Zindiqah disisi ulama’ Feqah (Fuqaha’) adalah yang bermaksud munafik yang bertopengkan Islam secara zahir, tetapi batinnya kafir.

Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, hadith yang diriwayatkan oleh al-Hakim, Abu Daud, at-Tirmizi dan selain mereka, tiada satu pun yang menyatakan lafaz “az-Zindiqah”, hatta didalam kalam Nabi SAW juga tidak ada, sepertimana juga didalam al-Quran al-Karim.

Syeikhul Islam Ibnu Taimiah Rahimahullah menambah: “Adapun hadith ini, disepakati oleh ahli pengkaji hadith, bahawa hadith ini merupakan hadith yang dicipta dan tipu, dan tidak diriwayatkan oleh seorang pun dikalangan ahli hadith dengan lafaz ini”.(6)

Wallahu min wara’ al-qasd.

(1) Dikeluarkan oleh Ahmad (145/3), Ibnu Majah (1322/2) nombor (3993), dikatakan oleh al-Busiri didalam “az-Zawaid” (m/s: 179-180): Sanadnya Sahih dan periwayatnya Thiqah. Adapun hadith ini mempunyai banyak jalan periwayatnya, sila lihat “Silsilah al-Ahadith as-Sahihah oleh al-Albani (no. 203, 204 dan 1492)

(2) Dikeluarkan oleh imam Ahmad (102/4), Abu Daud (6-5/5) nombor (4597), Ad-Darimi (158/2), al-Hakim (128/1), Sila lihat Silsilah al-Ahadith as-Sahihah oleh al-Albani (no.204).

(3) Dikeluarkan oleh al-Hakim (128-129/1), at-Tirmizi (2641) dan mengatakan: Hadith Mufassar Ghorib, iaitu tidak diketahui hadith seperti ini melainkan daripada lafaz ini.

(4) Majmu’ al-fatawi :345,347/3

(5) at-Tafarruqoh baina al-Iman wa az-Zindiqah (m/s 143)

(6) Bughyah al-Murtad: m/s 336-337

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home