Monday, April 16, 2007

Hakikat kewujudan hikmah disebalik syariat (epi 2)

Pada kesempatan kali ini, kita akan melihat tanda dan bukti dari nas al-Quran yang menunjukkan syariat itu kesemuanya mempunyai hikmah, samaada ia membawa masuk kebaikan didalam institusi kehidupan, mahupun membawa keluar keburukan dunia dan akhirat.

Pertama:

Disepakati oleh seluruh umat Islam bahawa Allah SWT adalah hakim, dan hakim tidak akan melakukan sesuatu melainkan untuk kepentingan yang dihakimi.

Disebutkan didalam al-Quran: “…Ya tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia…” –surah Ali Imran ayat: 191.

Sekiranya dia (Allah SWT) melakukan sesuatu bukanlah untuk kepentingan makhluknya, maka Dia bermain-main, adapun bermain-main ini adalah diantara sifat kekurangan, dan sifat ini adalah mustahil bagi Allah SWT.

Allah berfirman yang bermaksud: “Maka apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main? Dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada kami?” –surah al-Mukminun ayat: 115.

Kedua:

Sesungguhnya Allah SWT menjadikan anak-anak Adam itu sebaik-baik makhluk ciptaanNya, Allah berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya telah kami muliakan anak-anak Adam, Kami bawa mereka didaratan dan lautan, Kami beri mereka rezki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan”. –surah al-Isra’ ayat: 70.

Jika difikir secara logikal, barangsiapa yang memuliakan seseorang maka sudah semestinya dia akan membantu untuk memberikan yang terbaik buat orang tersebut, dan bukannya mendatang kemudaratan kepadanya.

Ketiga:

Diciptakan anak-anak Adam adalah untuk beribadah kepada Allah SWT, dengan membawa makna yang lebih besar iaitu sebagai Khalifah Allah SWT di muka bumi ini dan seterusnya mengimarahkannya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu”. –surah az-Zariat ayat: 56.

Boleh diambil perhatian disini, bahawa Allah SWT menciptakan manusia itu adalah semata-mata bagi menyembahNya, maka sudah tentu Allah SWT akan mempermudahkan jalan menujuNya, dan mengangkat segala kesesakan makhlukNya.

Keempat:

Sememangnya Allah SWT itu maha pemurah dan pengasih, bertepatan dengan firmanNya yang bermaksud: “SiksaKu akan Ku timpakan kepada siapa yang Aku kehendaki dan rahmatKu meliputi segala sesuatu”. –surah al-A’raf ayat: 156.

Oleh itu sekiranya syariat itu tiada pada nya maslahah atau kebaikan, maka tiadalah rahmat padanya, dan mafhum ini benar-benar bercanggah dengan apa yang difirmankan oleh Allah SWT.

Kelima:

Didalam beberapa perkara, jelas buat kita akan kebaikan dan kepentingan yang ingin disampaikan, sebagai contoh Allah SWT berfirman: “Dan tiadalah Kami mengutus kamu (wahai Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam”. –surah al-Anbiya’ ayat: 107.

Berfirman lagi: “…Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesusahan bagimu…”. –surah al-Baqarah ayat: 185.

Keenam:

Bahawa Allah SWT menyatakan sebab-sebab sesuatu pensyariatan secara detail disebahagian ayat, didalam menjaga kepentingan hamba-hambaNya seperti didalam ayat selepas pensyariatan wudu’: “…Allah tidak hendak menyulitkan kamu, tetapi Dia hendak menyucikan kamu dan menyempurnakan nikmat bagimu, supaya kamu bersyukur”. –surah al-Maidah ayat: 6.

Manakala didalam solat: “…dan dirikanlah Solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar… » -surah al-Ankabut ayat : 45.

Didalam jihad : « Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya… » -surah al-Haj ayat: 39.

Didalam syariat puasa pula : « Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan keatas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa ». –surah al-Baqarah ayat : 183.

Dan didalam hukuman qisas : « Dan dalam qisas itu ada (jaminan kelangsungan) hidup bagimu, hai orang-orang yang berakal, supaya kamu bertaqwa ». –surah al-Baqarah ayat : 179.

Dalam pada yang sama, Allah SWT turut menyatakan sebab tegahan-tegahanNya seperti : « Wahai orang-orang yang beriman, sesunggunya (meminum) arak, berjudi menyembah berhala dan mengundi nasib adalah perbuatan yang keji termasuk perbuatan syaitan, maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan ». –surah al-Maidah ayat : 90.

Maka berdasarkan dalil-dalil dan asas-asas yang telah dinyatakan, boleh disimpulkan bahawa setiap perkara yang di suruh oleh Allah SWT adalah semata-mata bagi membawa masuk kesenangan dan kepentingan buat makhlukNya, adapun perkara yang dilarangNya adalah merupakan penghalang bagi terjerumus ke lembah kesukaran dan kebinasaan di dunia mahupun di akhirat. Wallah min wara’ al-qasd

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home