Monday, April 9, 2007

Sejarah kemunculan Mazhab didalam Islam (epi 1)

Mazhab Feqah didalam agama Islam bukan hanya terbatas kepada mazhab empat yang masyhur iaitu Hanafi (150H), Maliki (179H), Syafie (204H) dan Hanbali (241H). Tetapi jika diimbas kembali sejarah silam suatu ketika dahulu, kita akan dapati berbilang-bilang mazhab yang wujud seperti mazhab al-Layth Ibn Sa'd (94-175H.), Sufyan al-Thauri (97-161H.), al-Awza'i (88-157H.), Zaid Ibn Ali (80-122H.), Abu Ja'far Muhammad Ibn Ali (57-114H.), Ja'far al-Sadiq (80-148H.), Ibn Jarir al-Tabari (245-310H.) dan lain-lain.
Kesemua imam ini adalah pendokong mazhab suatu ketika dahulu, tetapi pupus dek ketandusan pengikut, namun kita mengiktiraf mereka ini juga sebagai imam mazhab.
Sebelum kemunculan tokoh-tokoh ini juga, terdapat ramai dikalangan Tabi’in yang dikatakan sebagai ahli fekah tabi'i seperti Sa'id Ibn al-Musayyab (13-94H.), Tawwus (33-106H.), `Ata (27-114H.), Ikrimah maula ibnu Abbas (25-105H.), dan lain-lain yang pernah mendapat didikan daripada madrasah Al-Sahabah, generasi al-Quran dan sebaik-baik kurun disisi Rasulullah SAW.
Bahkan sebelum kemunculan tokoh-tokoh dikalangan tabi'in, nama-nama sahabat seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, Aisyah dan lain-lain juga merupakan pemimpin mazhab.
Maka, disinilah perlunya kita mengenali kemunculan mazhab-mazhab, perkembangannya, dan sebab-sebab kehilangannya. Jika kita lihat, al Imam Ibnu Jarir at Tabari contohnya, beliau adalah seorang mujtahid mustaqil (iaitu mampu membuat usul sendiri tanpa mengikut usul mazhab tertentu) walaupun lebih cenderung kepada mazhab syafie tetapi beliau tidak bertaqlid bahkan pendapatnya sepakat dengan pendapat Imam Syafie. Namun begitu pengikutnya tidak ramai, atas sebab inilah kita dapati mazhab ibnu jarir tidak masyhur dan tidak sampai kepada kita kini.

Mazhab Syafie
Bagi memperkuatkan pemahaman masyarakat terhadap mazhab yang menjadi pegangan rasmi bagi rakyat Malaysia, saya mengambil inisiatif membawa beberapa pendekatan bagi memperkemas metodologi para mahasiswa/i serta para pengkaji didalam mentelaah kitab-kitab mazhab syafie.
Adapun yang masyhur dikalangan kita adalah Kitab al-Um karangan sohibul mazhab iaitu Muhammad bin Idris as-Syafie. Namun begitu jarang sekali diperkatakan tentang Kitab al-Hujjah. Jika diperhati dari aspek sejarah penulisan, Kitab al-Hujjah dahulu dikarang barulah kitab al-Um.
Barangkali kemasyhuran Kitab al-Um adalah kerna ia ditulis selepas Imam Syafie memasuki Mesir, dan disitulah berlakunya perubahan pendapat daripada Pendapat lama (Qoul Qodim) kepada pendapat baru (Qoul Jadid). Diringkaskan bahawa ketika di Iraq selepas keluar daripada Madinah, beliau menulis kitab al-Hujjah yang merangkumi pendapat beliau ketika itu (lama) dan masih lagi terkesan pendapat-pendapat beliau dengan Amal Ahli Madinah, sehinggalah beliau memasuki Mesir dan mengarang kitab al-Um yang merangkumi pendapat beliau yang baru seperti meneliti semula penghujahan dengan Amal para sahabat.
Imam as-Syafie turut mengarang kitab didalam Usul Feqh, iaitu ar-Risalah yang juga merupakan kitab pertama yang membincangkan tentang perkara-perkara usul dan istilahnya, walaupun ada sebahagian pendapat yang mengatakan kitab pertama didalam usul feqh adalah karangan abi yusof (daripada pengikut hanafi) tetapi pendapat tersebut tidak kuat, kerna jika ia merupakan yang pertama, sudah tentu akan masyhur kitab tersebut.
Penyusunan manhaj yang dilakukan oleh Imam as-Syafie didalam penulisannya perlu diambil teliti, contoh terbaik adalah Kitab ar-Risalah yang menjurus penulisannya kepada manhaj ilmi, iaitu bagaimana berta’amul dengan nas Quran dan Sunnah, serta cara-cara berdalilkannya untuk diturunkan kepada waqi’ (situasi). Selepas itu barulah timbul kitab al-Um yang merupakan contoh perlaksanaan usul dan kaedah yang terangkum didalam ar-Risalah.
Kesimpulannya, al imam as-Syafie mendahulukan memahami perkara usul barulah diterjemahkan kedalam perkara-perkara cabang (furu’). Wallah min wara’ al qasd.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home