Thursday, April 12, 2007

Sejarah kemunculan Mazhab didalam Islam (epi 3)

Selepas melalui dua marhalah iaitu pengasasan mazhab as-Syafie dan melalui penyebaran mazhab yang amat pesat melalui cirri-ciri yang telah dinyatakan sebelum ini, maka berdirilah akhirnya mazhab as-Syafie sebagai mazhab yang menerima ramai pengikut. Ketika ini, lahirlah dua ulama’ tersohor didalam mazhab as-Syafie iaitu al-Imam Abdul Karim ar-Rafie (w624H) dan Yahya an-Nawawi (w676H).
Kedua-dua tokoh ini, mencapai tingkatan “Mujtahid al-Fatwa”, iaitu mereka yang mengetahui secara mendalam tentang mazhab imam mereka, serta mampu membuat tarjih tanpa melakukan istinbat hukum.

Pertama: al-Imam ar-Rafie.
Nama beliau Abdul karim bin Muhammad al-Qazwaini ar-Rafie, dinasabkan kepada seorang sahabat iaitu Rafie bin hudaij.
Dilahirkan pada 557 hijrah, dan meninggal pada 624 hijrah, umurnya ketika itu 65 tahun. Beliau banyak mengambil ilmu daripada ayah, atuk serta moyang beliau seperti mana yang disebutkan didalam kitab al-Amali. –Tobaqat as-Syafieah (77/2).

Kitab Karangan:

Pertama: Beliau telah mengarang beberapa kitab, antara yang paling masyhur adalah “al-Muharrar”. Kitab ini telah disyarahkan oleh ramai ulama’, antaranya al-Qodi Syihabuddin Ahmad bin Yusof as-Sanadi (w895H) telah mensyarahkannya kedalam 4 jilid yang dinamakan “Kashfu ad-Darar fi syarhi al-Muharrar”. –Mu’jam al-Muallifin (328/1)
Tidak kurang juga ulama’ yang meringkaskan kitab beliau, antaranya Taj Mahmud bin Muhammad al-asfahidani al-Karmani (w807H) didalam kitabnya “al-Ijaz”, dan diringkaskan juga al-Muharrar oleh Ala’uddin Ali bin Muhammad an-Naji (w714H), serta diringkas juga oleh al-Imam an-Nawawi didalam al-Minhaj.

Kedua: Diantara karangan beliau juga adalah kitab “Fathul Aziz Syarhu al-Wajiz”, adapun kitab al-Wajiz oleh Abu Hamid al-Ghazali (w505H), Selepas itu diringkaskan pula kitab “Fathul Aziz” oleh al-Imam an-Nawawi dan dinamakan ia “ar-Raudhah”.
Seperti sebuah rangkaian yang panjang, kitab ar-Raudhah ini pula diringkaskan, tetapi ia terdapat tiga ringkasan yang berbeza, pertamanya: “ar-Raudh” oleh as-Syeikh Ismail bin al-Muqirri az-Zubaidi (w837H). Kemudian diringkaskan “ar-Raudh” oleh Syeikhul Islam Ahmad ibnu Hajar al-Haitami, dinamakan pula “an-Nuaim”.
Ringkasan yang kedua bagi “ar-Raudhah” ialah “al-‘ubab” oleh al-Allamah Safiuddin Ahmad bin Umar al-Mazjad (w930H), kemudian kitab ini disyarahkan pula oleh Ibnu Hajar dan dinamakan “al-I’ab”.
Adapun ringkasan yang ketiga adalah “al-Ghunyah” oleh al-Allamah Abdur Rahman bin Abi Bakar as-Suyuti.

Hashiah (Nota Kaki) ar-Raudhah.

Diantara ulama’ yang beriktimad dengan Hashiah adalah al-Imam al-Azraei, al-Asnawi, Ibnu al-A’mmad dan al-Balqini. Setiap tokoh-tokoh ini mengarang sebuah hashiah bagi kitab ar-Raudhah, kemudian datang Syeikhul Islam Badruddin az-Zarkashi (w794H) mengumpulkan keempat-empat hashiah tadi kedalam empat belas jilid, dan dinamakan kitab tersebut “al-Khadim li ar-Raudhah”.
Dalam pada yang sama, kitab “Fathul Aziz” telah diringkaskan oleh al-Allamah Abdul Ghoffar al-Qozwaini dan dinamakan ia “al-Hawi as-Soghir”, kemudian datang Ibnu al-Waradi (w749H) menjadikannya didalam baris-baris syiir bagi memudahkan hafalan, lalu dinamakannya “al-Bahjah Nazmu al-Hawi as-Soghir” yang merangkumi 5,000 baris syiir. Selapas itu disyarahkannya pula oleh Syikhul Islam Abu Yahya Zakaria al-Ansori.
Dalam pada itu, kitab “al-Hawi as-Soghir” telah diringkaskan oleh al-Allamah Ismail bin al-Muqirri kepada “al-Irsyad” dan disyarahkan pula oleh Ibnu Hajar al-Haitami.
Wallahu min wara’ al-qasd

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home